Monday, November 8, 2010

kuning dan ungu

Angin dingin dari timur bertiup perlahan. Seorang gadis berkurung ungu berjalan sambil memegang tudungnya. Bimbang melayang. Bibirnya mengukir senyum nipis. Gembira di dalam hati. Gembira kerana telah berjaya menamatkan peperiksaan akhir semester sekaligus menandakan tamat pengajian tahun ke dua.
Safwana, gadis yang dibesarkan di desa kecil di Batu Pahat tidak pernah menyangka langkahnya sejauh ini. Sejauh hingga ke Universiti of Queensland (UQ) sebagai pelajar Farmasi . Dulu, dia hanya bercita-cita menjadi guru. Setidaknya, guru Bahasa Melayu. Subjek yang digemarinya sejak di bangku sekolah rendah.
Safwana melihat jam yang terlilit di tangannya. "Ah, baru pukul 1.05" bisiknya di dalam hati. Langkahnya ke stesen bas utama UQ dilencongkan ke Pusat Siswa yang terletak bersebelahan stesen. Bas yang akan membawanya pulang ke rumah di Toowong hanya akan bertolak pada pukul 1.30 petang. Begitulah yang tercatat di jadual perjalan bas yang tertampal di setiap platform. Hampir setiap perjalanan dari UQ ke Toowong dan sebaliknya sudah dihafaz olehnya. Perjalanan bas selalunya memang tepat waktu. Suka Safwana dengan budaya itu. Bukankah Allah sendiri bersumpah di dalam Surah Al-Asr bahawasanya "demi waktu, manusia itu dalam kerugian". Oleh sebab tidak mahu membuang waktulah dia bergerak ke Pusat Siswa. Safwana ingin mengisi masa yang ada dengan membaca buletin bulanan UQ, UQ News yang diletakkan di Pusat Siswa.
"Eh, Subhanallah!" Ucap Safwana seakan tidak percaya. Dia terasa amat mengenali wajah yang menghiasi muka depan UQ News untuk keluaran bulan ini. Kerusi ditarik pantas namun tetap sopan. Beg yang digalasnya sedari tadi diletak di atas meja. Jarinya pantas menyelak helaian demi helaian buletin setelah membaca basmalah. "Nah, ketemu!", bisik Safwanah perlahan tidak mahu mengganggu pelajar lain lantas membaca artikel dalam bahasa Inggeris tersebut tanpa lengah.
Wajah itu milik Haikal, pelajar tahun empat yang menuntut dalam jurusan Bioteknologi. Haikal pertama kali dikenalinya saat pertama kali Safwana menjejakkan kaki ke Brisbane. Haikal sebagai Presiden Persatuan Pelajar Malaysia UQ dipertanggungjawab oleh Jabatan Mahasiswa Malaysia untuk menjemput dan menyediakan penginapan sementara bagi pelajar Malaysia yang baru tiba dari tanah air. "Assalamualaikum, ahlan wasahlan wa marhabanbikum", Ucap Haikal pertama kali mereka bertemu. Safwana hanya tersenyum tipis sambil menundukkan wajah sebelum bergerak bersama-sama pelajar lain ke tempat penginapan. Safwana hampir tergelak melihat kaki Haikal yang bersarung sandal kuning pada ketika itu tapi setelah kian lama kenal, barulah dia mengerti jejaka itu memang meminati warna kuning. Haikal tidak kisah jika ada yang memerlinya kerana warna sandalnya. Haikal tidak kacak, tetapi manis. Giginya tersusun rapat, kecil-kecil. Memandang wajahnya langsung tidak membuahkan jemu. Berwajah kacukan Melayu- Cina walaupun dia juga anak Jawa seperti Safwana itu memang peramah dan boleh bertutur pelbagai bahasa walaupun tidak fasih. Mengetahui akan hal itu, Safwana jadi kagum bercampur pelik. Masakan pelajar jurusan Sains suka dengan bahasa. Jelas, Safwana mengagumi kebolehan Haikal. Justeru, dia segera menerima tawaran menyertai Jawatankuasa Persatuan Pelajar Malaysia UQ sebagai setiausaha sehinggalah dia sendiri meletakkan jawatan kerana suatu peristiwa yang sukar dilupakannya.
"Assalamualaikum", salam tak berbalas.
"Assalamualaikum Wana", lebih keras kali ini suaranya.
"Astagfirullah Al-Azim, Waalaikumsalam", Safwana nyata tersentak daripada lamunannya. Lamunan tentang Haikal. Safwana mengangkat kepala ke arah si pemberi salam. Matanya dibulatkan. Terkejut. Lantas menunduk semula.
"Khusyu’ nampaknya membaca, maaf mengganggu. Boleh saya duduk sini?", Tanya pemilik suara. Wajah Safwana yang putih itu memerah malu. Dia masih kelu untuk memberi respon. Nyata, orang yang sedang berhadapan dengannya kini adalah Haikal bin Kamil, lelaki yang bermain di dalam fikirannya, yang wajahnya terpampang di dada UQ News. Tapi kini, bukan lagi wajahnya malah tuan punya badan sedang menanti jawapan daripada gadis berkurung ungu itu.
"Boleh saya duduk di sini? Saya ada sesuatu untuk dibincangkan dengan awak" Tanya Haikal mohon perhatian.
"Erm, maaf. Silakan" Safwana membalas ringkas.
"Cantik beg awak, warna ungu. Semanis tuannya," Haikal memuji. Menghangatkan suasana yang dingin.
"Terima kasih," ringkas daripada Safwanan. Seperti Haikal yang meminati kuning, Safwana juga obsess terhadap ungu. Begnya berwarna ungu, computer ribanya juga ungu. Malah boleh dikatakan obsesinya terhadap ungu lebih daripada Haikal dan warna kuningnya kerana dua kali seminggu, Safwana akan mengenakan busana berwarna ungu.
"Maaf kalau mengganggu masa awak membaca", sekali lagi maaf dihulur oleh Haikal. Serius kali ini.
"Insyaallah tak mengganggu. Tahniah sebab berjaya terima Biasiswa Canselor UQ. Bukan calang-calang orang boleh dapat biasiswa ni. Hmm, senangnya. Lepas ni boleh terus buat PhD", Safwana menunjuk artikel yang memuat kisah Haikal. Sebenarnya dia hanya cuba berbasa- basi kerana tidak mahu dianggap masih berdendam oleh lelaki itu.
"Syukran. Sebenarnya, atas sebab inilah saya datang. Saya tahu saya tak sepatutnya duduk berdua di sini bersama awak tapi, ada yang perlu saya bincangkan", Haikal bersuara tenang tapi dalam. Kata – kata yang bakal diluahkan seolah menuntut pemahaman dan timbangan daripada gadis berusia 22 tahun di hadapannya. Gadis itu berbaju ungu, sama sepertinya yang bersandal kuning seperti selalu.
"Awak masih marahkan saya?", Haikal menyambung kata-kata. Safwana masih bisu. Jemarinya menyelak helaian makalah di atas meja namun hatinya jauh. Jauh mengingati peristiwa lalu.
….
"Macam mana perkara ni boleh berlaku?", bentak Haikal sambil tangannya menekan meja. Semua yang hadir pada mesyuarat petang itu diam. Bisu. Ruang perbincangan yang terletak agak tersorok di Perpustakaan Sains Sosial UQ yang dingin dengan penghawa seakan panas. Sepanas hati Haikal ketika itu.
"Wana, apa yang berlaku. Macam mana kita boleh gagal dapatkan dewan untuk majlis makan malam tu?" mata Haikal menancap Wana yang sedang tunduk. Gadis itu diam.
"Majlis ni akan berlangsung tiga hari lagi, tiga hari lagi. Faham tak? Sepatutnya, sebulan yang lepas lagi awak buat tempahan. Majlis ni bukannya majlis menyambut pelajar baru yang boleh dibuat di mana-mana. Tapi, ini majlis Makan Malam bersama Timbalan Perdana Menteri!." Suara Haikal tetap keras namun berisi kekesalan. Dia tidak mahu kekredibilitiannya sebagai Pengerusi Persatuan Pelajar Malaysia UQ dipersoal oleh para pegawai atasan.
"Saya dah buat tempahan sebulan lalu. Saya sendiri yang hantar surat tu kepada UQ Union dan mereka sahkan tiada tempahan lain", Safwana akhirnya mempertahankan diri.
"Habis, kenapa bila AJK Jamuan minta kunci daripada UQ Union, mereka kata dewan tu dah ada tempahan?"Safwana diam. Tidak menjawab.
"Ah, memang sukar bekerja dengan pelajar Tahun Satu. Perempuan pula. Entah apa yang difikir. Ingatkan bekas pelajar KISAS ada kredibiliti. Boleh memimpin. Tapi…." Haikal seolah memerli. Melepaskan tanggungannya kepada Safwana.
"Saya memang tahun satu, perempuan dan bekas palajar KISAS. Tapi, adilkah ini dijadikan ukuran tahap kepimpinan seseorang?. Jadi, kalau saya pelajar PhD, saya lebih berkepimpinan? Kalau saya bekas pelajar sekolah Felda, saya tidak?" Safwana bangkit. Bertanya bertalu-talu. Wajahnya merah menahan marah. Terasa amat dirinya dihina.
"Kalau persatuan dah tak percayakan saya, tak percayakan kebolehan saya, mempersoal kredibiliti saya, elok saya letak jawatan. Di sini, bersaksi semua yang ada di sini, saya Safwana binti Hambali meletak jawatan sebagai Setiausaha PPM UQ." Keras dan tegas. Semua yang ada di dalam kamar itu pegun. Tekejut. Safwana bingkas menarik beg yang ada di bawah meja sebelum bergegas keluar.
"Eh, kenapa dengan Wana tu?" Zarul yang baru tiba selepas Safwana keluar bertanya. Tiada jawapan. Diam.
"Tengok ni, kunci Holt Room", Zarul tersenyum sambil menunjukkan segugus kunci.
"Aku pergi semak semula dan kata pegawai UQ Union, nyata ada kesilapan pada data mereka", terang Zarul.
Haikal terpana. Rasa bersalah menyusup dalam hati. Dia segera keluar mendapatkan Safwana namun gadis itu telah hilang daripada pandangan.
….
"Maaf"
"Memang senang meminta maaf. Cakaplah dalam bahasa apa pun. Tetap satu perkataan. Maaf, Asif, Gomenkudesai. Tapi, yang menanggungnya…", Safwana memulakan kata-kata yang telah dipendam sekian lama.
"Awak datang setelah setahun berlalu hanya untuk meminta maaf?"
"Tak, sebenarnya saya…saya nak melamar awak", Haikal berterus terang. Safwana terkedu.
"Saya nak awak menemani hidup saya di sini sepanjang saya menyelesaikan PhD. Saya mahu hidup saya dilengkapi. Kita, lengkap melengkapi. Seperti cahaya kuning-hijau pabila diserap logam peralihan, memancar gelombang yang bewarna ungu. Saya pasti ungu itu kamu. Biasiswa saya cukup untuk menampung kita. Insyaallah, susah senang, suka duka kita bersama." Haikal memohon. Jujur.
"Kenapa awak pilih saya?" Tanya Safwana. Ragu.
"Sebenarnya, sejak pertama kali berjumpa awak di lapangan terbang, hati saya bergetar. Tapi saya cuba singkirkan perasaan tu. Mungkin hanya nafsu. Tapi, apabila awak berundur daripada PPM UQ, saya rasa kehilangan. Benar saya bersalah. Saya ego. Terasa berat memohon maaf. Tapi, lepas berdoa mohon pertolongan, Dia tunjukkan awak. Saya rasa awaklah yang paling sesuai untuk jadi suri dalam hidup saya. Saya harap awak sudi terima saya." Haikal bersuara perlahan, tapi tetap mampu didengari.
Safwana masih diam. Tidak percaya. Tiada angin. Tiba-tiba diajakknya bernikah. Bercinta apatah lagi. Memang bukan prinsipnya bercinta sebelum kahwin tapi…dia tak menyangka secepat ini jodohnya.
"Saya bukan anak kucing", kata-kata ini terpacul dari mulut Safwana tetapi Haikal mengerti lantas mengukir senyum.
"Ibu bapa saya dah hantar pinangan ke rumah awak. Ibu bapa awak pun setuju. Mereka risau awak sendirian tanpa muhrim di sini. Mereka yang minta saya bertanya sendiri dengan awak. Jadi, apa jawapan awak?"
Safwana terperangkap. Gadis itu kehilangan kata-kata. Patutlah beberapa hari lepas ketika menelefon ibunya untuk meminta restu sebelum peperiksaan, ibunya seolah menyimpan sesuatu. "Nantilah, lepas habis peperiksaan Wana, mak beritahu. Peperiksaan tu yang perlu diutamakan." Kata-kata ibunya terngiang-ngiang di telinga. "Mak, cepat benar kau mahu melepaskan anak daramu ini", rintih Safwana di dalam hati.
Safwana memandang Haikal. Muka lelaki itu mengharap. Safwana tidak tahu sama ada perlu berkata ya atau tidak. Safwana mengalihkan pandangan ke pondok bas. "402" detiknya di dalam hati selepas memandang bas yang baru berhenti di paltform. Dia segera mencapai beg dan sedia berlalu. Pergi daripada Haikal Kamil.
"Tunggu dulu, awak tak jawab saya lagi!" Haikal menahan.
"Beri saya masa, empat hari lagi." Ringkas daripada Safwana sebelum pergi menuju bas yang berada di platform.
"Empat hari lagi" Haikal berteka teki. Sama ada jawapannya positif atau sebaliknya. Doa dipanjatkan kepada Ilahi. "Ya Allah, jika memang dia jodohku, mudahkanlah perjalananku menyempurnakan separuh agamamu".

"Assalamualaikum mak" Safwana membuka bicara. Bergegas dia menghubungi ibunya setibanya di dalam bilik.
"Waalaikumsalam, Wana. Apa khabar? Exam dah habis?" Tanya si ibu di hujung talian.
"Alhamdulillah, Wana baik, semua kertas dah habis", Jawab Wana.
"Jadi Wana dah bincang dengan Haikal?" Pertanyaan ibunya mengkagetkan. Nampaknya pertemuan tadi seolah dirancang. Bukan hanya dirancang Haikal malah turut disertai ibunya atau mungkin seluruh ahli keluarga.
"Dah", Jawabnya ringkas. "Mak setuju Wana kahwin sekarang? Mak tak nak Wana tamat pengajian dulu?" Soalan dibalikkan buat ibunya.
"Dah sampai jodoh kau. Mak pun dah tua, dah tak larat nak menjaga kau. Kakak abang kau semua dah kahwin. Tinggal kau dan adik kau Rafiz sahaja. Lagipun, kau anak perempuan. Banyak fitnahnya, lagi-lagi duduk di negara orang. Kau fikirlah. Mak dan ayah, semua setuju. Hal ni soal masa depan kau. Kami serahkan kepada Wana untuk fikir", sayu suara ibunya kedengaran. Pasrah.
"Mak..", titis airmata berjujuran di pipi Safwana. Sedih mengenangkan kata-kata ibunya. Tak sangka begitu besar beban yang dipikul membesarkan anak gadis.
"Jadi, mak tak kisah Wana nikah di sini? Ayah tak mahu menikahkan Wana?" Tanya Wana dengan suaranya yang kini bersendu.
"Eh, ayah kau lah yang nikahkannya nanti. Haikal tak bagitahu kau ke yang dia nak bawa kau balik Malaysia. Nikah di sini?"
"Hah?"

"Assalamualaikum, lepas 3 hari berfikir dan istikharah, saya dapat jawapannya.
Saya sudi jadi teman hidup awak. Insyaallah, saya cuba jadi isteri yang baik. Didiklah saya jika ada kekurangan. Maafkanlah saya jika ada kekhilafan. Saya relakan awak menjadi suami saya dengan syarat, awak jangan pakai kasut kuning lagi"
Safwana
Safwana menekan butang hantar. Mel elektronik itu dialamatkan kepada Haikal. Senyum manis hinggap di bibir gadis itu.
"Waalaikumsalam. Alhamdulillah, terima kasih kerana sudi menjadi isteri saya. Saya bukanlah laki-laki yang sempurna. Insyaallah, saya cuba jadi suami yang soleh. Jika ada racun nantinya, sama-samalah kita cari penawarnya. Saya tak akan biar awak seorang yang mencari hanya kerana awak pelajar farmasi (^_^).
Harap awak bersedia. Saya dah tempah tiket untuk kita pulang ke Malaysia lusa. Kita akan bernikah lebih kurang seminggu dari sekarang.
Ps: Saya tak kisah jika awak pakai baju ungu setiap hari"
Haikal

Kedua-duanya tersenyum di hadapan komputer riba masing-masing. Insyaallah, semester baru nanti mereka akan kembali ke sini, sebagai pasangan suami isteri.

2 comments:

Miss Butterfly said...
This comment has been removed by the author.
Miss Butterfly said...

teringin nak kawen time study . tapii tapiii.. cam tak boleh je.. nanti orang cakap gatal. hahaha lagipon, calon takde. hiks!

nanti nak cari orang yang suke kaler biru jugak baru best, hari2 pakai baju kaler biru, muahahaha