Monday, August 30, 2010

sang pungguk dan sang rembulan.

CANTIKNYA dia. Kali pertama aku terpandang romannya. Jantungku berdetak kencang seperti genderang mahu perang. Kelembutannya menyejuk bayuku. Belum pernah aku melihat perempuan sebegini dalam hidupku. Dalam persekitaranku. Dalam dunia bunyiku. Kelembutannya menarik diriku mendekatinya. Selangkah dan selangkah. Semakin dekat dengannya. Aku semakin gemuruh menghampiri belakangnya. Dia menoleh dan menyapaku "Boleh saya bantu saudara" dalam silu aku bertanya namanya. "saya Solehah" sambil memberiku sekilas senyuman. Dia, sangat menawan. "Saudara mahu membeli buku atau kitab agama? Atau, ada sesuatu yang saudara cari?" aku tercengal. Mataku menerawang di pelosok penjuru kedai itu. Begitu banyak ayat-ayat suci, begitu banyak buku-buku, begitu bayak kopiah-kopiah dan sejadah. Rupanya dia menjual "barangan" ini. Sahut hati kecilku. Panoramaku kembali menatap romanya. Kelembutan wajahnya meruntunkan hatiku. Ingin sekali ku katakan kaulah yang ku cari selama ini. Perasaan yang asing hadir dalam sanubariku. Adakah ini cinta? Jatuh cintakah aku ini.? Melihat raut wajahnya membuatkan aku selesa dan tenang. Wajah sebeginilah yang ku cari sekian ini. Seorang perempuan yang mampu memberi ketenangan kepadaku. Memberi kesejukan kepadaku. Dan senyumannya mampu mendamaikan hatiku.


Tiba-tiba aku dikejutkan dengan satu suara garau dari belakang. "Awak Islam ke?" kata pemuda yang warak pemakaiannya. Aku bisu. "Abang, kenapa cakap macam itu? Dah tentu dia Islam. Kalau tidak kenapa dia datang ke kedai kita." Solehah menyebelahiku. "Betulkah? Awak cuba lihat dirinya, cara dia berpakaian, baju apa yang dia pakai. Berantai, bersubang, bertindik sana sini. Rambutnya, berkarat macam lalang kena racun! Awak rasa dia Islam ke?. "Saya tidak suka dengan nada suara abang. Sesungguhnya Islam tidak membenarkan kita berprangsangka buruk terhadap orang lain. Dia pelanggan kita. Sekurang-kurangnya hormatinya sebagai seorang pelanggan. "Dia bukan pelanggan yang sesuai untuk singgah di kedai kita. Jangan-jangan engkau cuba mengambil kesempatan!" Pemuda itu menoleh ke arahku. Hatiku kurang senang dengan nada suaranya. "Ya Tuhan, kenapa dengan abang ini? Kesempatan apa yang dia mahu ambil? Saya kurang senang sikap abang begini" Solehah seolah-olah merajuk. "Maafkan abang Solehah. Tapi dari tadi abang perhatikan dia, seolah-olah mahu memikat Solehah. Orang seperti dia bukan boleh dipercayai. Lagi pun dari tadi lagi, bukannya ada benda lain yang dia cari, sebaliknya hanya menanyakan nama Solehah". Pemuda itu terus memujuk Solehah panjang. Aku senyum sinis. Aku lihat Solehah yang sudah mual dengan pemujukan pemuda itu. Sikapnya sangat menjengkelkan bagi Solehah. Dan juga bagiku. Aku merenung mata Solehah tanpa menghiraukan pemuda itu. Solehah menawan senyum padaku. Aku meminta diri sambil menoleh ke arah pemuda itu. Air mukanya seperti kendi yang sedang mendidih. Aku rasa aku menang. Sambil melangkah berlalu dengan tawa kecil.


Begitulah kehidupanku di pulau kecil ini. Hidupku penuh dengan ronar dari pandangan masyarakat pada siang hari. Tetapi tidak pula pada masyarakat pada malam hari. Di mana aku begitu disangjung tinggi oleh mereka. Anehnya. Di Wilayah Persekutuan ini. Aku berkerja di sebuah kelab malam bersama-sama dengan ayahku yang turut sama memeriahkan pesta di situ. "Ayah, aku sudah jatuh cinta dengan seorang perempuan." Aku menyapa ayahku. "Yakah? Jadi kamu mahu minta nasihat dari aku? Begini anakku, kunci branya ada di belakang. Tekan dan tarik sahaja. Perempuan itu akan jadi milik kau." Sambil ketawa ayahku terpingga-pingga dalam kemabukan. Aku tidak berani hendak membantah ayahku tentang kenapa kita harus berada dalam keadaan ini dan memuja kepada "agama" ini. Sekian lama ini aku tahu ayahku tidak mahu mendengarnya. Apa yang aku tahu aku dibesarkan dengan suasana sebegini. Pekara ini sangat merumitkan aku. Disini merupakan tempat orang mengenal "syurga" dan "neraka". Tapi bagiku "syurga" dan "neraka" yang aku lalui selama ini tiada bezanya. Walaupun pekara ini sentiasa bermain di benak akalku. Tapi aku tidak berdaya untuk menyelesaikannya. Ianya hilang dalam kemabukan sewaktu berkerja. Jeng… Jeng… Jeng….

Ku harap suatu hari nanti!!

Ada orang yang mampu bantu Aku!!.

Meyelesaikannya!!.

Aku sampai ke tempat ini!!.

Kita yang berlegar dengan bunyi-bunyi!!.

Iringan Intrumen muzik!!

Tepikkan!!

Tawaan!!


Yeah…yeah…!!!


Mengilailah orang-orang disini!!.

Kita datang dari pelusok manusia,

Bermacam-macam jantina!!.

Dan punyai satu pegangan "agama"

Yang sama menghinggapi diriku selama ini.

Mungkin inilah "syurga" yang kita cari.!!

…………………


Suatu petang aku merayau seorang diri di kota kecil ini. Selepas bangkit dari tidur yang terpinga. Di sini tidak perlu berkenderaan untuk merayau mengelilingi kota. Sekadar berjalan kaki aku dapat sampai ke tempat yang dituju. Semasa aku sedang membeli rokok di sebuah kedai runcit. Aku dikejutkan dengan suara lembut yang menyapa salam padaku. Rupanya Solehah. Hatiku sangatlah riang dan menjawab salamnya. "Saya sebenarnya tahu saudara ini Islam. Maafkan saya mengenai kejadian tempoh hari. Saya harap saudara tidak ambil hati dengan kejadian itu." Pinta Solehah dengan kelembutannya. "Tidak mengapa. Saya tidak ambil hati." Tapi sebenarnya hatiku telah diambil oleh kelembutannya. "Boleh saya tahu siapa nama saudara?" Nyata aku sudah menarik perhatian Solehah. "Nama saya Dhani, saya seorang pemuzik di sebuah kelab di sini." Aku lihat Solehah kembali sunggul. Aku tahu latar belakang diriku tidak enak baginya."Awak mahu ke mana?" seiringan aku berjalan dengannya. "Saya mahu balik ke rumah" "Awak tidak berkerja hari ini?." Solehah menggelengkan kepalanya. Wajahnya suram membatalkan niatku untuk merokok. Mungkin Solehah tidak suka dengan kelakuanku nanti. Aku teringin sekali mengenali dirinya dengan lebih mendalam. "Boleh saya temankan awak balik?" Solehah tercengal. "Itu pun kalau awak tidak keberatan berjalan dengan orang macam saya. Tapi kalau awak rasa saya tidak molek. Tidak mengapalah." "Tidak mengapa, lagi pun tidak ada salahnya." Solehah seolah-olah keberatan menolak permintaanku. Aku cuba hilangkan rasa keberatannya dengan berborak dengannya. "Kenapa awak boleh tahu saya ini Islam?" Solehah memandangku. "Melalui gerak hati saya." "Nampaknya awak mempunyai gerak hati yang tepat". Sahutku. Solehah tersenyum. Dari garis senyumnya, adakah aku dapat mengurangkan sedikit keberatan di hatinya?. Adakah?. Kemudian dominasi bisu kembali mengisi ruang antara kami. Aku tidak mahu kesempatan ini berakhir begini. Sedangkan saat ini adalah saat paling bahagia dalam hidupku. Aku buntu memulaskan akalku untuk berbicara dengannya. Dalam kebuntuan itu, Solehah bersuara. "Awak lelaki yang dingin." Aku tersipu dengan telahannya "Mungkin untuk orang macam awak." "Kenapa?" Solehah terus menyahut. " Sebab saya hormat pada awak." Solehah terus tersipu. Aku menyambung lagi. "Siapa lelaki yang hari itu?" wajah Solehah kembali sunggul. "Namanya Shah. Dia adalah bakal tunang saya. Pilihan keluarga. Sebab keluarga kami ada hubungan yang baik. Tapi saya tidak sukakannya. Tidak suka dengan sikapnya." Jadi kenapa awak harus terus bersamanya? Awak harus ada sedikit keadilan untuk hati awak." Ku lihat wajahnya kembali kebuntuan. Dan inilah masa yang sesuai aku masukkan "guna-gunaku" "Solehah, sebenarnya saya ada sesuatu yang mahu beritahu awak." Teja berhenti dan memandang arahku. "Sebenarnya kali pertama saya lihat awak. Saya rasa ketenangan dalam diri saya. Mungkin sebab diri saya tidak pernah tenang sebelum ini. Tapi, sejak saya kenal dengan awak. Saya dapat rasakan sesuatu. Yang saya inginkan selama ini." Solehah terus menyahut dengan perlahan. "Apa yang awak inginkan selama ini?" "Perubahan hidup. Saya mahu berubah. Melihat diri awak. Saya dapat lihat keseimbangan yang saya perlukan. Saya perlukan orang yang boleh memberi dorangan kepada saya ke jalan yang benar. Solehah, awaklah orang itu. Bantulah saya untuk saya lepas dari neraka yang membelenggu hidup ini. Solehah terkelu. Dari anak matanya yang memandang aku. Tercermin seribu persoalan, keberatan, dan keterharuan. Tetapi sejak dari itu kami menjadi semakin rapat. Kami selalu berjumpa. Solehah, mula mengajar aku tentang agama Islam. Dan aku mendalaminya. Semakin hari aku dapat rasakan kebahagian dan ketenangan yang aku impikan. Dan juga aku dapat lihat dari ombakkan mata Solehah kian mesra dengan ku. Dari situ aku beranikan diri melamarnya. "Solehah, saya ingin katakana sesuatu pada awak. Sejak saya kenal dengan awak. Saya rasa sangat gembira. Hati saya riang. Bila bersama awak adalah saat yang paling bahagia dalam hidup saya. Senyuman pada wajah awak tidak pernah lenyap di hati saya. Solehah, hidup bersama awak adalah impian hati saya. Sudikah awak jadi teman hidup saya?"


Belum sempat aku melangkah seterusnya. Tiba-tiba kami dikejutkan dengan beberapa sergahan suara kasar dari arah belakang kami. "Engkau lagi! Engkau buat apa dengan Solehah? Aku diam. "Solehah tidak malukah orang tenggok Solehah bersamanya. Dia tidak layak untuk mendekati Solehah. Dia ini umpama sampah yang selayaknya ada bersama-sama dengan sampah-sampah di dalam tong sampah itu. Solehah tidak kenalkah dia. Dia adalah salah seorang dari tempat "neraka" itu. Orang macam dia yang bercalit dosa dan maksiat tidak sesuai dengan orang macam kita!" "Cukup! Cukuplah abang menghinanya lagi. Saya tidak sanggup mendengarnya". Air mata Solehah berlinangan. Kecewa dan kesedihan jelas terpancar di riak wajahnya. Solehah terus berlalu pergi meninggalkan aku. Hatiku terusik dengan linangan air matanya. Tiba-tiba aku disentak lagi oleh pemuda itu. "Engkau dengar sini baik-baik. Solehah itu adalah bakal isteri aku. Engkau jangan cuba hendak mendekatinya lagi. Orang macam engkau hanya boleh lihatnya dari jauh sahaja. Engkau perlu sedar diri. Engkau tidak layak untuk mendekatinya apatah lagi mahu bersamanya." Kata-katanya begitu menusuk hatiku. Tapi aku tidak berbuat apa-apa. Pengecutkah aku?


Sejak dari peristiwa itu diriku menjadi sunggul. Aku duduk termenung memikirkan peristiwa itu. Di ruang malam jendela rumahku. Aku berlagu dengan gitar. Pada masa itu aku lihat bulan purnama yang mengambang indah. Malam yang cantik tetapi banyak bintang di langit. Dengan petikan gitar. Aku terus berlagu. Jeng… Jeng… Jeng….

Dimalam yang indah….

Berdirinya aku disini….

Seperti selalunya aku….

Menantimu….


Wajahmu secantik purnama…

Keayuanmu tiada bandingan….

Membuat ku terasa….

Rindu padamu….



Aku sedar siapa diriku. Sekiranya hendak di bandingkan dengan Solehah. Aku bak pungguk yang mendambakan bulan. Yang mampu melihatnya dari jauh. Yang mampu menyebut namanya. Tapi aku tahu aku tak mampu untuk mendekatinya. Walau sekali pun aku terbang kepadanya. Si bintang pasti akan menghalang ku dari mendekatinya. Dengan petikan gitar. Aku terus berlagu. Jeng… Jeng… Jeng….

Kau umpama bulan purnama….

Yang dipagari bintang bercahaya….

Manakala ku hanyalah….

Pungguk di hutan…


Benarlah kata si bintang….

Diriku mampu melihatmu….

Diriku mampu sebut namamu….

Namun ku tak mampu….

Untuk aku mendekatimu….



Hari berlalu begitu sahaja dan Solehah sudah semakin jauh dariku. Sudah lama aku tidak Nampak Solehah. Aku begitu rindu padanya. Tapi apakah daya, aku cuma seorang pemain muzik. Mana mungkin aku dapat memilikki perempuan seperti Solehah. Dengan petikan gitar. Aku terus berlagu. Jeng… Jeng… Jeng….

Ku hanya tahu mencintaimu….

Ku hanya tahu rindu padamu….

Namun ku tahu ….

Ku takkan dapat….

Memilikkimu….

Ku takkan dapat….

Memilikimu!!!


Tiba-tiba suatu hari aku Solehah datang menemui aku. Dia menyatakan bahawa keluarganya mahu melangsungkan perkahwinanya dengan lelaki itu pada hujung bulan ini. Tapi dari riak wajah Solehah nyata dia tidak sukakan keputusan itu. Aku mampu senyum. Dan aku menyuruhnya mengikut akan kehendak keluarganya. Kerana itu adalah jalan yang terbaik untuk dirinya. Pada masa yang sama aku memberikannya sekeping cakera yang di dalamnya adalah lagu-lagu yang ku cipta dia. Dan juga sebagai tanda berakhirnya kisah aku dan dia. Dalam suasana hati yang kian rawan. Solehah bersuara kesayuan. "Bukankah awak ada cakap yang awak mahu jadikan saya teman hidup awak? Kenapa awak kata begitu?" suaranya tersekat-sekat menahan kehibaannya. "Lupakan apa yang saya beritahu dulu. Saya sedar saya bukanlah orang selayak untuk diri awak. "Tapi saya tidak kisah! Kenapa awak berubah hati? Awak tidak macam saya kenal dulu. Adakah awak mencintai saya?" Air matanya sudah berlinangan di pipinya. "Sudahlah Solehah. Sekiranya saya mencintai awak tak semestinya saya harus bersama awak. Kisah antara kita seperti pungguk dan bulan. pungguk tetap pungguk. Yang hanya setia dan tetap merindui kemunculan bulan purnama. Bulan tetap bulan. Bila ia mula mengambang ramailah si bintang yang berkelipan di sekelilingnya. Bak kata pungguk dapat melihat hati yang pergi lebih memadai daripada melihat cinta yang hilang." Aku menambah senyumku. "Masih belum cukup untuk saya menjadi cenderawasih. Solehah, terima kasih kerana memberi sedekit ketenangan dan kebahagian kepada diri saya. Solehah meraung kesebakan "Awak jahat! Awak tipu saya. Awak permainkan saya. Saya benci awak!. Solehah terus menangis. Dengan mengucapkan selamat tinggal. Aku terus berlalu pergi meninggalkan Solehah. Dalam masa itu. Sempat lagi aku menoleh melihatnya. Walaupun sekental mana aku menahan perasaan aku. Tapi di dalam hati ini hanya tuhan sahaja yang tahu.

hati

Krrriing....
Anak-anak kecil berduyun-duyun melewati pintu pagar sekolah. Entah apa yang dikejarnya. Sinaran mentari terik tidak diendahkan mereka. Jeritan pak Guard meminta mereka menunjukkan sedikit tingkah manusia, tenggelam dalam keasyikan dunia tanpa dosa anak-anak kecil itu. Biarkan.
Aci yang menjual ABC tidak lepas tangan melayan anak-anak yang rakus itu. Banyak karenah dilihat. Penuh ragam tengah hari itu.

Pintu keretaku dibuka.
"Eh Amin, anak umi. Mana Liya? Selalu dia tumpang kita pulang?"
" Liya tak boleh balik la. Dia kena kelas tahanan. Itulah. Cikgu suruh eja ayam pun tak reti. Makan ayam tahu pula!" getus anak tunggalku ini lalu melabuhkan punggung di kerusi hadapan. Aku meluncur laju.
" UPSR dah nak dekat tapi banyak yang Liya tak tahu lagi. Banyak sangat!
Amin risau ni umi! Liya kata dia nak jadi doktor macam umi tapi eja ayam pun tak lepas. A.Y.A.M, ayam!" anakku berceloteh.
" Prihatin betul anak umi seorang ni. Tapi Min, kalau Allah bagi kekurangan pada seseorang, Allah bagi kelebihan juga sebagai keseimbangan. Allah sayang semua makhluk-Nya. Umi tengok Liya tu cantik juga ya, rajin bantu ibunya di rumah. Berkenan umi nak jadikan Liya menantu!" kataku sambil melirik ke arah anakku.
Amin mencebik.
"Amin kecil lagi la. Amin nak ada kerjaya baik-baik dulu, beri umi kesenangan, kumpul harta,lepas tu baru Amin fikir pasal jodoh. Emm, umi cuti hari ini kan? Umi masak apa hari ini?" anakku mengubah topik.
"Ya, umi cuti hari ini. Jadi, ada lah masa untuk umi masak sedap-sedap. Umi ada buat sambal hati hari ini. Kegemaran Amin kan. Tapi tak boleh makan selalu tau. Tak berapa baik untuk kesihatan," terangku.

" Tapi kalau tak baik untuk kesihatan, kenapa umi masak juga?"
" Sebab umi nak ...


Ingatanku lantas terbang...melayang...

Pagi itu keputusan STPM diumumkan. Aku mendapat keputusan yang agak cemerlang. Berkat doa ibu bapa, guru-guru dan sahabat. Aku tersenyum. Betapa Allah itu maha adil. Dia menggantikan sesuatu yang baik dengan yang lebih baik.
" Nur, pergi kedai Pak Mail kejap. Beli beras pulut dan ikan bilis sedikit. Mak nak jamu orang surau esok. Ayah nak buat doa selamat sedikit."
Laungan ibu dari dapur memecah khayalanku. Segera kumendapatkan basikal yang banyak berjasa membantu ayah mendapatkan rezeki untuk keluarga di bawah rumah.


"Tahniah kak Nur! Mat dengar kak Nur jadi pelajar terbaik kampung kita. Tak sia-sia Mat doa untuk Nur tiap malam."
Aku yang sedang membongkok di bawah rumah terhantuk pada alang rumah. Terkejut.
" Mat rupanya. Lain kali bagi la salam dulu. Terkejut akak. Alhamdulillah Mat. Rezeki akak."
Mat memang begitu. Tibanya tak terkesan, perginya tak terlihat. Namun hadirnya sangat terasa.

" Maaf kak. Emm Mat dengar kak nak pergi kedai Pak Mail kan? Nak ikut! Mat nak beli choki-choki.Tapi..Mat tak bawa duit la" sengih Mat menampakkan gigi kuningnya.
" Nak suruh akak belanja la tu. Nasib baik mood akak happy hari ni. Dah, cepat duduk belakang. Isk, seluar tu naik atas la sikit Mat. Nanti londeh, satu kampung gelakkan Mat tau."
Kataku disambut leretan senyumannya yang ikhlas.

Angin menghembus damai ke pipiku. Kayuhanku agak perlahan lantaran membawa ‘muatan’ yang tidak disangka. Perjalananku yang agak jauh tidak jemu tatkala melihat padi yang sedang menguning sambil mendengar celoteh si Mat. Gembira.

" Kak Nur ni baiklah. Akak je yang nak kawan ngan Mat. Orang kampung kata Mat tiga suku, tak betul, ting-tong. Kenapa akak kawan juga dengan Mat? Ke akak pun macam Mat? Sebab tu kita ngam kan, akak?" pertanyaannya membuatku terpinga.
"Emmm..betullah tu...akak pun lebih kurang macam Mat la. Cuma akak ada kelebihan sedikit daripada Mat. Akak pandai bawa basikal," senyumku. Hatinya kulihat berbunga. Aku meneruskan perjalanan. Dengan perasaan yang masih sama. Gembira.

Aku memberhentikan kayuhan.
Semua mata memandangku dengan emosi yang sama. Sinis.
Aura kejelekan kuat kurasakan dari sekeliling. Kecuali dari pokok-pokok, tumbuh-tumbuhan dan haiwan-haiwan yang memberi rasa hormat penciptaan terhadap kami berdua. Terbit juga dari haiwan sosial-dalam kalangan mereka rasa itu. Segelintir.
Aku tahu mereka bercakap-cakap tentangku. Memuji kejayaanku pagi tadi dalam sindiran. Tajam.

......
"Nur, tempoh untuk pembayaran yuran tinggal tiga hari lagi. Elok disegerakan untuk memudahkan pendaftaran STPM kamu itu ya."
Peringatan guruku yang boleh kutelah sebelum kelas bermula. Pasti disahut oleh suara belakang yang merentap iman. Sedang aku hanya mengangguk sebagai tanda memahami peringatan guru.
" Ala cikgu, Nur tu bukan ada duit. Ayah dia menoreh pun getah orang. Dibahagi tiga pula."
Kedengaran seperti memahami tetapi manusia hanya melihat apa yang di hadapannya tanpa mahu membelek.
"Tapi cikgu, kalau malam ni dia pergi rumah Mat tiga suku , panjat katil ayah si Mat tu, esok juga dia bayar yuran tu cikgu, bukan tak biasa si Nur buat kerja macam tu" lantangnya memburaikan gelak tawa seisi kelas.
Aku diam. Geram.
Maruahku dipermainkan anak wakil rakyat yang dikatakan berpengaruh. Di dunia.
Mujur aku ditenangkan oleh sahabat-sahabatku. Minoriti .
Guru biologi itu menenangkan kelas.
Jelas bersimpati denganku, die mendahulukan wangnya. Semoga dilangsai dalam minggu hadapan dengan kadar separuh. Separuh lagi sebagai jariahnya di alam sana.
Syukur. Duit yang dikumpul ayah sejak enam bulan lalu kian cukup menjelang minggu hadapan untuk melangsaikan sebahagian yuran. Syukur.
Bererti enam bulan yang jerih bakal berhenti. Tidak bermakna hari mendatang menjadi bangsawan. Cuma lebih baik. Sekurangnya tidaklah setahun. Tidaklah menjadi makruh.


........



"Pak Mail, kira semua ni."
"RM 18.60"
Not-not berwarna dihulurkan sambil diperhati. Aku terkesan suara yang sudah lali didengar.
Suara yang berniat merendahkan.
Suara anak wakil rakyat itu. Khairul.
" Banyak duit cik akak? Katil siapa pula kau panjat malam tadi ha? Sejak bapak si Mat meninggal, pandai kau cari kabel lain ye. Kasihan kau.
Otak pandai, tapi tergadai! Aku pun nak jugak try kau kalau kau free malam ni."
Kahkahkah..

Aku panas.

" Eh abang Khairul, kenapa cakap macam tu. Tak sopan betul!
Tak baik cakap macam tu kat kak Nur. Kak Nur baik la. Bukan yang macam abang fikirkan.
Pak Din penat kerja tau, kumpul duit. Didik kak Nur. Mat dengan kak Nur lebih kurang je.
Mat tiga suku, kak Nur empat suku kot sebab kak Nur pandai bawa basikal, Mat tak pandai." Mat bersuara. Aku tak tahu sama ada Mat menjernih atau memburukkan lagi keadaan.
Jelas , aku mendengar deraian gelak ketawa yang bertambah kuat di saatku melangkah keluar.
Segera aku memberi choki-choki yang diidam oleh Mat sedari tadi, juga sebagai simbolik terima kasih. Lalu beransur pulang. Jalan yang sama. Emosi yang berbeza


Petang itu, aku menyatakan hasrat untuk mengesahkan permohonan kemasukan ke IPT kepada kedua ibu bapaku. Mata ayah nyata berkaca. Lagi. Ibu juga.
Aku tahu keadaan keluargaku tidak mengizinkanku mendahulukan kehendak hati.

" Program perubatan tu mahal. Anak Mak Limah sebelah rumah ni tiap-tiap bulan minta duit. Beli itu, beli ini. Mujur harta peninggalan arwah pak Leman cukup untuk tanggung anak tunggalnya itu."
"Tapi Timah, ini sahaja jalan keluar daripada kesusahan kita. Abang boleh minta tolong daripada adik-beradik abang yang lain. Terpaksalah kita berhutang buat sementara waktu.
Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian..."
"Timah takut si Nur tu lemas dengan kehidupan kota. Rakit yang kita ikatkan untuk dia mungkin terlerai atau diputuskan oleh tangan lain. Mana kita nak cari buluhnya lagi?"

Ayah terdiam.
Aku mencuri dengar perbualan mereka di dapur.
Aku faham. Ayah tahu bahawa ini merupakan percaturan yang sangat penting demi kesejahteraan hidup kami sekeluarga.

Aku berada di persimpangan. Selain program perubatan di UKM, aku juga mendapat panggilan temu duga maktab perguruan. Dua cabang kerjaya yang sangat berbeza.
Baik dari segi pelajaran, tempat bekerja, lebih-lebih lagi kos pembiayaan.


Hari ini merupakan penggal baru dalam hidupku. Kulihat bangunan-bangunan dan kemajuan sedang rancak berlari. Kepesatan dan kemodenan bandar membuatku berasa gusar akan iman ini akan bergoyah.
Bangga. Aku melihat papan tanda Institut Perguruan Kuala Lumpur tersergam indah. Setiap hari aku akan menatapnya sehingga akhir pengajianku dan aku akan keluar sebagai salah seorang nahkoda yang akan mengemudi bangsaku ke arah kehidupan yang lebih sejahtera.
Aku rasa tindakanku yang menurut kata ibu bapaku untuk mengikuti program ini adalah tepat.
Cuma mereka tidak bersama denganku pada hari pertama aku memulakan langkah baru di dunia yang baru. Jimat barangkali.

Ya. Fakulti perubatanku bersebelahan dengan institut perguruan yang pernah menjadi dilema untuk aku memasukinya. Aku berharap ibu bapaku dipanjangkan umur untuk aku membalas jasa mereka. Aku tahu ayah banyak berkorban dan sanggup menebalkan muka ke sana-sini supaya aku dapat berdiri di sini. Aku akan sentiasa berhati-hati mendayung rakitku ini yang bila-bila masa sahaja boleh terumbang-ambing dengan perkara-perkara yang remeh-temeh.

Hari pertamaku.
Khairul. Dia satu kelas denganku. Aku tahu sikapnya yang suka memperlekehkan orang lain tidak mungkin berubah tambahan dengan ego orang kayanya yang tinggi itu. Hari itu suai kenal. Aku tidak perlu berkata apa-apa. Terima kasih Khairul kerana telah memperkenalkan diriku dengan begitu terperinci. Hikmahnya, aku tidak perlu gugup untuk berdiri di atas pentas memperkenalkan diri kerana aku sudah sedia gugup di bawah pentas tatkala kau di atas pentas, memperkenalkan aku. Sayangnya kau tidak mengambil gambar rumahku untuk dipertontonkan supaya gelak tawa dan sokongan untuk kau bertambah kuat lagi! Hati kau Khairul, busuk!


Kehidupan sebagai pelajar perubatan memang mencabar dengan pelbagai onak. Syukur aku diiringi doa dan restu daripada keluarga. Prestasiku tidak secemerlang Khairul yang mampu membeli buku rujukan khas dan peralatan belajar yang lengkap. Tambahan dengan perangainya yang ‘konsisten’ itu, aku tidak pasti sama ada kejayaannya itu sebagai istidraj ataupun maunah mahupun karamah. Tapi aku diajar untuk bersangka baik.


Hari raya bakal menjelma. Dengan sedikit duit biasiswa yang aku terima aku membelikan ahli keluargaku pakaian raya baru yang aku kira sudah lima tahun tidak bertukar. Girangnya aku kerana dapat pulang setelah setahun tidak pulang kerana terpaksa berjimat.
Cuti semester dijadikan waktu belajar dan alhamdulillah keputusan peperiksaan akhir tahun melayakkan aku menerima anugerah dekan. Jelas terbayang wajah ibu bapaku yang tidak hadir sebagaimana ibu bapa yang lain. Aku faham. Mengerti.

"Assalamualaikum. Kak Nur dah balik? Akak beli apa untuk Mat? Akak kan duduk dekat Kuala Lumpur sekarang ni. Mesti macam-macam ada kan. Seronoknya kak!"
"Waalaikumsalam. Ha pandai pun beri salam . Tidak la akak terkejut lagi. Mat, akak bukan duduk la. Akak belajar di Kuala Lumpur.
Entah lah. Akak tak suka berjalan. Ramai orang jahat! Mat tak suka orang jahat kan?
Ala, akak tak beli apa-apa la..takpe-takpe, nanti akak bawa Mat pergi kedai Pak Mail, kita beli choki-choki ya.? Tapi sekarang bulan puasa kan? Tak boleh makan siang. Mat puasa tak ni?"
"hehehe..."

Penat. Petang itu juadah disediakan bermacam-macam jenis kerana ada moreh di surau dan mak dipertanggungjawabkan untuk menguruskannya. Aku membantu.
Syukur kehidupan kami bertambah baik. Ayah bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah rendah. Biasiswa yang aku terima sedikit-sebanyak mengurangkan beban kewangan mereka.
Aku mencapai tudung dan mengusung basikal ke laman.
"Mak, Nur nak pergi hantar bekal buat ayah berbuka ni, lepas tu Nur nak pergi ke kedai pak Mail kejap," laungku kepada ibu.
" Isk Mat ni cepatlah sikit, dah nak berbuka ni, mana lagi nak pergi hantar bekal,
beli choki-choki lagi. Ha..nasib baik dah pandai pakai seluar elok-elok. Macam ni baru segak!"
Teguranku disambut dengan senyuman yang menyeringainya itu. Giginya masih kuning.

Perjalanan yang sama. Emosi yang sama. Gembira.
Padi mula menguning. Angin sepoi-sepoi bahasa membelaiku. Mat terus dengan celotehnya yang tiada nokhtah itu.

Kayuhanku terhenti. Kaget.
Kulihat ada kemalangan berlaku. Sebuah kereta mewah terjunam ke dalam parit dan seekor lembu mati. Aku cam kereta itu. Khairul! Ya Allah, aku lihat dia berlumuran darah. Kebetulan terdapat pondok telefon yang berhampiran. Aku berlari mendapatkannya untuk menelefon ambulans.

Beduk berbunyi. Azan berkumandang. Aku masih di samping Khairul. Mat juga.
Kulihat kelopak mata Khairul seakan terbuka. Menatapku.
Aku mengajarnya mengucap dan ingatkan Allah.
Azan terus berkumandang. Mana ambulans?
Ah, nyawa Khairul di hujung tanduk!
Ah, Mat tidak berhenti bercakap. Dia panik. Aku juga!
Ah, ibuku tentu runsing di rumah!
Ah, aku kusut!

Ne..No..Ne..No...

Kenapa aku di sini?
Di samping Khairul. Dia. Penjatuh air mukaku.
Pihak hospital sudah menghubungi ahli keluarga Khairul.
Hampa.
Mereka di luar negeri. Urusan politik katanya. Penting.
Projek mega, juta-juta. Hmmm kuasa wang.

Khairul diberi bantuan pernafasan. Kemalangan yang berlaku menyebabkan organ dalaman Khairul rosak. Hati Khairul rosak. Dia memerlukan penderma organ dengan segera, yang serasi dengan jenis darah dan metabolismanya. Hati dia rosak teruk walaupun secara batinnya memang dia memerlukan hati yang baru. Lama dahulu.

Aku mendail nombor telefon rumah Mak Limah untuk bercakap dengan ibuku.
Aku bercerita. Suatu kisah benar.
Sesuatu yang kuharapkan hanyalah rekaanku semata.
Ibu menyuruhku menemani Khairul memandangkan dia tidak berwaris ketika itu.
???

Dasar kemanusiaan. Aku berharap semuanya berjalan lancar.
Aku memanjatkan doa supaya semuanya selamat.

Khabar diterima.
Alhamdulillah. Doaku di bulan Ramadan ini dimakbulkan.
Khairul selamat menjalani pembedahan dan telah mendapat hati yang baru.
Secara fizikal.
Malangnya, penderma hati tersebut mendapat komplikasi selepas pembedahan dan meninggal.
Ajal.
Bagiku, dia pergi menghadap Ilahi dalam keadaan yang sungguh mulia.


Aku pergi ke tempat rehat untuk mendapatkan Mat.
Dia sangat risau.
Walaupun Khairul itu selalu mencacinya. Teruk.
Tentu dia gembira dengan perkhabaran ini.

Mat.
Mat?
Mat?
Aku lihat sekujur tubuh baring di atas katil. Seakan Mat. Aku lega.
Ingatkan hilang.
Mungkin Mat penat sangat.

Pagi itu aku bersahur di kafe.
Aku lihat Khairul belum sedarkan diri.
Niatku ingin melihat jenazah si penderma hatinya itu dan menyedekahkan Al-Fatihah kepada roh si arwah.
Jururawat yang bertugas menyelak kain putih yang menyelubung jenazah.
Aku tergamam.
Terkedu.
Mengalir air mata ini.
Mat!
Mat kulihat kaku.
Namun masih tersenyum.
Namun gigi kuningnya tidak lagi kelihatan.
Al-Fatihah buat Mat.

Di penghujung Syawal, tahun yang berikutnya.
teratakku dikunjungi golongan elit.
Berkereta mewah, berpakaian cantik serta bergaya.
Sedang kami sederhana.
Mungkin hina bagi sesetengah mereka.
Ikatan pertunangan aku dan Khairul.
Benar.
Dia benar-benar telah mendapat hati yang baru.
Mulia hatinya.
Seperti pendermanya.
Dan aku dapat melihat itu. Setelah puas dibelek.

................................
"Sebab umi nak Amin mengenali hati...
Hati ada kebaikan juga keburukan. Tambahan, hukum makan hati adalah makruh tau "
"Baik umi."
Keretaku terus meluncur laju. Masihku terbayangkan...


"Kenapa Mat suka makan choki-choki ya?"
"Sebab manis! Macam kak Nur!"
"Ish ada-ada aja Mat ni. Nak suruh akak belanja lagi la tu kan?
Nanti lepas abang Khairul selamat, semua perkara dah selesai, akak belanja ya."
"Akak tau tak? Akak la orang kedua yang baik dengan Mat selepas ayah Mat. Tapi sekarang ayah Mat dah tak ada, akaklah yang pertama. Dulu masa ayah masih hidup, akak selalu datang rumah kami, kemas rumah kami, masak untuk kami. Hati akak mesti mulia kan?"
"Tak ada apa-apa la. Akak tolong ikhlas. Lagipun akak tengok dulu hidup Mat dan ayah Mat tak terurus. Akak bantu apa-apa yang termampu. Kalau nak buat apa-apa pun, hati kita mesti ikhlas."
"Mat nak jadi baik macam akak. Mat nak berhati mulia macam akak."
"Mat dah cukup baik. Selalu tolong tengokkan keluarga akak kan. Tolong ayah akak kat kebun, ikut gotong-royong kampung, bersihkan surau. Kan mulia hati Mat tu.."
" Betul ke akak? Tapi Mat rasa Mat nak buat sesuatu baru Mat rasa Mat satu level dengan akak"
"hmm apa dia?"
"Belajar bawa basikal. Nanti boleh Mat bawa akak dan orang kampung naik basikal Mat pergi pusing keliling kampung, tengok sawah padi, beli choki-choki."
"Tak habis-habis dengan choki-choki Mat ni tau. Ok la. Akak nak pergi tanya doktor tentang keadaan abang Khairul tu."
"Ok kak! Kejap lagi Mat nak pergi belajar bawa basikal tu. Doakan Mat ya."
"Mat ni apa-apa sajalah"